Novel-Bab 9

• Masa : 3:49:00 PG • Ulasan : 0 • Label :
BAB 9
 "Mana Syahril dan Irzan?" Soal Ustaz Rahman pada Mustakim.
Mustakim hanya membisu. Dia tidak tahu hendak memberi alasan apa pada wardennya itu. Sebentar tadi dia sudah maklumkan pada dua sahabatnya itu bahawa ustaz ingin berjumpa mereka bertiga. Tapi entah kenapa, dua lelaki itu buat endah tak endah sahaja dengannya. Semenjak dari peristiwa malam itu, Mustakim perasan yang mereka berdua cuba menjauhkan diri darinya. Dipujuk hatinya agar bersabar. Kata-kata Amiruddin masih tersimpan kemas di hatinya.
"...bayangkanlah kalau Rasulullah itu seorang yang tidak sabar abang....nescaya Islam akan terkubur di bumi Mekah dan kita tidak akan merasai ni'matnya."
"Mustakim!"
"Ahh...ya, saya ustaz!"
Mustakim kembali ke alam nyata. Imbauan semalam terlerai.
"Termenung pula kamu ni. Ni Shahril dan Irzan dah datang."
Mustakim memandang dua lelaki itu. Mereka membuatnya seperti tidak wujud. Tidak bertegur walau sepatah kata.
"Begini...saya dan Cikgu Ramzi dah berbincang yang kita akan adakan satu spotcheck asrama mengejut."
Shahril dan Irzan saling memandang. Mustakim kelihatan tenang.

"Err...bila tu ustaz?" Soal Irzan sedikit kurang senang.
"Selepas waktu Zohor nanti. Waktu tu, pelajar-pelajar akan ada ceramah di surau. Nanti, Mustakim tolong maklumkan pada semua pengawas putera dan puteri, habis saja solat Zohor, terus keluar dan berkumpul di asrama. Saya akan beri taklimat sedikit," kata Ketua Warden Asrama SMKAY itu. Dia membuat keputusan itu setelah banyak laporan yang diterima tentang barang larangan yang dibawa pelajar. Telefon bimbit, cd game, majalah-majalah hiburan, rokok dan sebagainya. Kalau dibiarkan, akan semakin menjadi-jadilah jawabnya. Sesekali perlu 'diajar' sedikit pelajar-pelajar ini dengan pemeriksaan mengejut. Baru mereka serik.
"Baik ustaz," jawab Mustakim patuh. Mereka kemudian kembali ke kelas. Dalam perjalanan Mustakim curi-curi mendengar perbualan Shahril dan Irzan.
"Hem...susah la kalu buat spotcheck! Confirm mengamuk budak-budak asrama tu nanti," luah Irzan sedikit berbisik. Dia risau kerana dia adalah ketua asrama. Pasti nanti pelajar-pelajar akan menuduh ini semua ideanya.
"Nak buat macam mana? Takkan kita nak bantah Ustaz Rahman? Nanti tak pasal-pasal kita pulak yang kena!" Kerisauan terpapar jelas pada wajah Shahril.
"Ah..tak apa. Nanti kita tolong cover la mana yang kita mampu." Cadang Irzan.
Mustakim berdehem. Terkejut dua lelaki itu. Mereka tidak menyangka Mustakim ada di belakang mereka. Cepat-cepat mereka berlalu pergi, meninggalkan Mustakim. Mustakim tergeleng. Dia sedikit kecewa dengan sikap sesetengah pengawas sendiri apabila mereka tidak mampu bersikap amanah dalam menjalankan tugas. Apatah lagi mereka itu punyai jawatan yang tinggi! Kerana takut pada manusia yang mengancam, mereka lupa kepada Allah yang maha mengetahui segala-galanya. Lupa bahawa setiap perlakuan mereka akan dipersoalkan kelak di hadapan Allah s.w.t
***********
"Apa?? Spotcheck??"
"Aa Najmi, aku dengar diorang bisik-bisik tadi. Ha..tu kau tengok pengawas dah keluar tu. Padahal, kejap lagi ada ceramah," kata Hazami melapor pada 'otainya' itu.
"Sial!!"
Najmi menumbuk lantai surau. Terkejut pelajar-pelajar yang duduk berdekatannya. Dia tidak sangka pengawas berani buat spotcheck. Sedangkan sudah lama tidak dibuat. Dia yakin banyak barang-barang terlarang yang dia bawa akan dirampas. Dia menyumpah seranah pengawas-pengawas sekolah. Satu nama terbit dari mulutnya. Api kebencian terpancar dari matanya.
"Mustakim!!!"
*************
"Mustakim!!"
Mustakim berpusing. Menghadap orang yang memanggil dari dalam dorm B1.
"Loker Najmi tak boleh dibuka. Dia guna mangga sendiri." Lapor Hanafi. Mustakim sudah mengagak semua itu. Sebab itu dia sudah buat persediaan awal bersama Ustaz Rahman tadi.
"Cuba guna cutter tu, potong saja mangga tu. Menjadi satu kesalahan kalau dia guna kunci sendiri," arah Mustakim. Dia hanya memberi arahan. Dia sedang memantau dari koridor kerana dia tahu dia tidak boleh percaya sepenuhnya pada Shahril dan Irzan. Ketika taklimat tadi, dia, Irzan, Shahril dan Hanafi dibahagikan kepada setiap aras yang berlainan. Mustakim memilih untuk mengambil aras dorm Najmi, kerana dia tahu pasti banyak 'hasil' yang akan diperolehi di situ. Manakala Shahril dan Irzan masing-masing mendapat aras atas sekali. Majoriti adalah dorm yang diduduki adik-adik. Sebab itu dia tidak terlalu risau. Tetapi, dia tetap bercadang untuk memeriksa sekali lagi di kawasan dua lelaki itu, untuk memastikan mereka benar-benar menjalankan amanah.
"Mus! Sini!!"
Mustakim bergegas masuk. Mulutnya beristighfar tatkala melihat apa yang ada di dalam loker Najmi. Dua kotak besar rokok! Masing-masing jenama Dunhill dan Suria. Kemudian terdapat beberapa majalah yang bagi Mustakim kandungannya agak lucah, dan sebilah pisau. 'Ah..aku dah agak dah Najmi ni,' gumam Mustakim dalam hatinya. Semua barang itu kemudian di rampas dan dimasukkan ke dalam plastik hitam. Melalui dorm 'keramat' itu juga mereka menemui beberapa barang larangan lain seperti walkman, telefon bimbit dan sebagainya. Dari keseluruhan 'hasil' itu, Najmi dan Hazami merupakan 'penyumbang' terbesar. Memang seperti yang dijangkakan Mustakim.
Setelah hampir 45 minit spotcheck dibuat, akhirnya semua selesai. Para pengawas berkumpul di bilik gerakan dengan beg plastik hitam yang dipenuhi barang rampasan. Tanpa disedari pengawas lain, Mustakim dan Hanafi naik semula ke aras atas sekali. Mereka ingin memeriksa semula aras yang diamanahkan kepada Shahril dan Irzan. Mereka hanya memilih loker milik pelajar-pelajar yang disyaki sahaja. Kalau hendak diperiksa semula semua memang tidak sempat. Memang benar telahan Mustakim. Barang-barang larangan tidak dirampas. Tak hairanlah 'hasil' yang dikutip dua lelaki itu sangat sedikit. Alasannya aras-aras itu diduduki junior. Rupanya mereka itu musuh dalam selimut! Bersubahat!
Setelah selesai, mereka turun dengan membawa satu plastik penuh barang rampasan. Apabila diberitahu dari aras mana, wajah Shahril dan Irzan menjadi pucat. Mereka bimbang perbuatan mereka dibongkarkan oleh Mustakim. Namun lelaki itu diam tidak berkata apa-apa. Dia masih menghormati dua sahabatnya itu. Jika dihebohkan tentang pengkhianatan mereka, pasti akan kucar-kacir pentadbiran lembaga pengawas. Kerana itulah Mustakim memilih untuk berdiam terlebih dahulu.
Setelah selesai, semua pengawas kembali ke surau An-Najah. Ketika itu, ceramah sudah selesai. Ustaz Rahman menahan pelajar terlebih dahulu di dalam surau. Kemudian beliau memaklumkan berkenan pemeriksaan mengejut asrama dan tentang barang-barang rampasan. Bergema surau An-Najah dengan suara tidak puas hati para pelajar. Yang tidak membawa apa-apa hanya tersenyum. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan sekiranya tidak membuat salah.
"Sudah berapa kali saya ingatkan jangan bawa barang-barang seperti ini ke asrama! Kamu degil? Inilah balasan kamu. Saya rasa semuanya telah dirampas.kalau ada yang terlepas, kamu jangan gembira dahulu, kerana selepas ini akan diadakan spotcheck ini dari semasa ke semasa," kata Ustaz Rahman. Semua pelajar diam. Suasana menjadi tegang saat ini.
"Saya harap kamu insaflah. Macam-macam saya jumpa dalam loker kamu. Pelajar putera dan puteri sama saja. Kalau kamu yang ada di sekolah agama, macam ini perangainya, kamu boleh bayangkan macam mana kawan kamu kat luar sana? Fikir-fikirlah balik. Apa tujuan kamu datang ke sekolah ini, apa tujuan mak ayah kamu hantar kamu kesini. Nak buat apa-apa fikir dahulu tentang mak ayah kamu. Kasihanilah mereka," nasihat Ustaz Rahman. Dia harap perkara ini akan jadi satu pengajaran pada mereka semua. Setelah selesai memberi nasihat dan amaran, pelajar-pelajar dilepaskan ke asrama untuk makan dan bersiap untuk ke kelas prep petang. Dia kemudian memberi taklimat dan ucapan terima kasih kepada para pengawas yang membantu sebelum mereka bersurai. Mustakim turut sama ingin pulang ke asrama. Belum sempat dia melangkah keluar dari surau...
"Mus!! Sini kejap.." panggil Shahril. Mustakim tidak sedap hati. Dia lihat Irzan turut ada bersama menunggu di dalam surau. Pasti mereka ingin berbincang tentang pemeriksaan asrama tadi.
"Ada apa?" Soal Mustakim tenang. Dia perasan akan ketegangan yang terukir di wajah dua lelaki dihadapannya itu.
"Kau memang cari pasal la Mustakim!" Hambur Irzan tiba-tiba. Tersentak Mustakim.
"Apa salah aku?" Soal Mustakim.
"Yang kau pergi rampas semua barang kenapa? Kau tak fikir ke nanti nasib kita? Mesti budak-budak asrama mengamuk punya!"
Mustakim tenang. Dia sudah dapat mengagak dari awal lagi. Dua sahabatnya itu memang tidak setuju.
"Tenang Irzan, Shahril. Jangan risau,kalau kita buat perkara baik pasti Allah tolong. Kita tak akan mampu nak puaskan hati semua pihak. Yang salah, tetap salah.yang benar tetap benar. Tak perlu nak takut." Nasihat Mustakim lembut. Cuba memahamkan sahabatnya itu.
"Arghh!! Kau tak payah nak ceramah dekat aku Mus! Lepas ni kalau jadi apa-apa pada kau, kau tanggung sendiri! Aku dah tak nak terlibat! Kalau budak-budak nakal belasah kau nanti, kau jangan cari aku!"
Irzan terus meninggalkan Mustakim dan Shahril. Hatinya panas saat ini. Dia bimbang pelajar-pelajar nakal akan buat sesuatu nanti. Dia memilih untuk selamat daripada bersikap jujur dan amanah. Shahril hanya memandang Irzan meninggalkan mereka. Dia kemudian menatap wajah Mustakim penuh kebencian. Tanpa berkata apa-apa lelaki itu turut berlalu pergi. Tinggal Mustakim keseorangan. Mustakim meraup wajahnya dengan kedua tapak tangan. Hatinya sebak. Sedih dengan tindakan sahabat baiknya sendiri. Dulu berjuang bersama, sekarang tinggal dia berseorangan. Nasihat Amir kembali terngiang-ngiang di cuping telinganya.
"Abang Mus...Allah takkan uji seseorang itu dengan satu bebanan sekiranya dia tidak mampu. Kalau sekarang abang rasa abang sedang diuji itu tandanya abang mampu hadapinya. Cuma satu saja kuncinya, iaitu abang kena sabar."
InsyaAllah Mustakim! Kau mampu!!

Tiada ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious