Novel-Bab 10

• Masa : 10:05:00 PG • Ulasan : 1 • Label :
BAB 10
 "Sial! Celaka kau Mus!!"
Hamun Najmi. Setelah selesai ceramah tadi, dia terus bergegas pulang ke asrama. Ingin dilihat 'hartanya', sama ada diusik pengawas ataupun tidak. Masuk saja ke dalam dorm tadi, terus mengamuk lelaki itu. Mana tidaknya! Mangga lokernya dipotong. Rokoknya dirampas. Habis hilang semua barang larangan yang dibawanya.
"Ahh!! Benci aku asrama ni! Itu tak boleh, ini tak boleh! Sial!"
Adik-adik kecut perut melihat senior mereka begitu. Cepat-cepat mereka bersiap dan keluar dari dorm. Takut mereka melihat Najmi mengamuk, tak ubah seperti orang gila.
"Relax Najmi, relax!" Hazami cuba menenangkan suasana, walaupun dia sendiri sebenarnya gerun melihat Najmi sebegitu.
"Relax apanya? Habis semua barang aku dirampas celaka tu! Kalau aku jumpa, memang mampus semua pengawas aku kerjakan!"
"Sabar Najmi,sabar. Kalau kau pukul pengawas, nanti kau kena panggil lagi. Kena hukuman tatatertib lagi. Lagi susah," kata Hazami memujuk.
"Habis tu, kau nak suruh aku buat apa? Jadi pak turut? Ikut saja semua arahan mereka!" Kasar suara Najmi. Dadanya berombak menahan marah.
"Haa...kita kena bijak Najmi. Kita seksa pengawas-pengawas ni semua dalam diam-diam!" Idea jahat terbit dari mulut Hazami.
"Seksa diam-diam? Maksud kau?" Soal Najmi tidak mengerti.
"Begini...."

Hazami merapatkan mulutnya ke telinga Najmi. Dia berbisik sesuatu. Wajah Najmi yang asalnya keruh, bertukar menjadi ceria mendengar idea jahat juniornya itu.
"Hahaha....bijak kau Mi! Bijak!" Puji Najmi pada Hazami.
"Heh! Tunggulah kau Mustakim!"
*************
Malam itu, sekitar pukul 11 malam Najmi dan Hazami bergerak ke tingkat atas asrama. Langkah mereka menghala ke arah dorm Mustakim. Pelajar-pelajar lain yang terserempak dengan Najmi semuanya hairan. Mana tidaknya! Selama ini, Najmi tidak pernah lalu di kawasan itu. Masing-masing membuat andaian sendiri tentang apa yang bakal terjadi. Dalam fikiran mereka sekarang terbayang-bayang Najmi membelasah para pengawas sepuas hatinya. Meluahkan ketidakpuasan hatinya atas pemeriksaan asrama hari ini.
Bam! Bam! Bam!
Pintu bilik Mustakim diketuk kasar. Najmi menanti sesiapa sahaja membukanya. Namun sepi! Belum sempat Najmi mengetuk buat kali kedua, pintu dibuka dari dalam. Terjengul wajah Irzan disebalik pintu. Tertegun lelaki itu pabila melihat 'tetamunya' malam itu. Wajahnya bertukar warna. Pucat lesi!
"Tepi!!"
Najmi menolak Irzan kasar dan masuk ke dalam bilik itu. Dia mencari kelibat Mustakim, namun tidak kelihatan. Yang wujud saat itu hanya Irzan, Shahril dan juga Hanafi.
"Mana Mustakim?" soal Najmi kasar.
"Err...entah. Dia tak balik lagi. Mungkin di surau rasanya." jawab Shahril gugup.
"Oh...kat surau aa? Hem, bagus juga celaka tu tak ada di sini. Hazami, kunci pintu tu," arah Najmi.
Hazami akur. Dia menghampiri pintu lalu diselak dari dalam. Tiga orang sahabat itu hanya memerhatikan tindak-tanduk dua samseng sekolah itu. Jantung mereka berdegup kencang. Seakan hendak luruh memikirkan apa yang bakal dibuat oleh Najmi. Kes Najmi membelasah Hafizan sebelum ini kembali menjengah ke minda. Serta-merta peluh jernih terbit di dahi.
"Err...ada apa sebenarnya ni Najmi?" soal Hanafi memberanikan diri.
"Ada apa? Oh...kau orang dah ambil barang aku, kau tanya lagi kenapa aku datang?" kata Najmi menyatakan maksud kedatangannya malam itu.
"Barang-barang itu semua barang larangan. Sebab itu dirampas bukan diambil. Kalau kau tak mahu barang kau dirampas, janganlah bawa," kata Hanafi tekad. Perkara yang benar perlu ditegakkan. Berbanding Shahril dan Irzan, Hanafi ternyata lebih berani.
"Kau jangan nak tunjuk hebat kat sini! Kau ingat kau siapa?" tengking Najmi. Kolar baju Hanafi dicekaknya. Irzan yang melihat cepat-cepat menahan.
"Sabar Najmi, sabar. Dengar dulu apa aku nak cakap," kata Irzan sedikit gugup.
Jelingan tajam Najmi menerkam wajah Irzan. Dia lalu melepaskan Hanafi dengan kasar dan berpaling ke arah Irzan. Dia senyap. Menantikan bicara yang bakal keluar dari mulut ketua asrama itu.
"Kau janganlah marah kami. Sebenarnya ni semua salah Mustakim. Kami yang lain dah sepakat tak mahu rampas barang-barang pelajar, tapi Mustakim punya pasal semua kena rampas!" Kata Irzan cuba menyelamatkan diri. Hanafi tertegun. Pandangan tajamnya menerkam Irzan. Dia kurang senang dengan tindakan lelaki itu yang dianggap mementingkan diri
"Oh...jadi kau tak bersetuju la dengan Mustakim?" soal Najmi menduga.
"Aa...aah...aku tak setuju. Dia tu suka ikut kepala dia sendiri saja," kata Irzan gugup. Dia sendiri tidak sangka dia akan berkata begitu. Najmi tersenyum mendengarkan pernyataan itu.
"Emm...aku kurang percaya la, sebab kau kan kawan Mus. Takkan kau tak serasi dengan dia. Hem...melainkan...."
"Melainkan apa?" Soal Irzan resah.
"Melainkan kau sendiri buktikan pada aku yang kau tak setuju dengan Mustakim."
"Bagaimana?" Soal Irzan lagi. Najmi dan Hazami tersenyum. Perangkap mengena!
"Begini....."
************
Pagi itu, asrama putera menjadi riuh! Keadaan tak terkawal! Dorm dibiarkan tak berkemas! Pelajar turun lewat sesuka hati! Semuanya kerana hampir majoriti pengawas 'memecat' diri mereka sendiri. Mereka tidak memakai baju biru hari ini. Termasuk Shahril dan Irzan selaku 'orang kuat' pengawas. Yang kelihatan tetap dengan uniform pengawas itu hanya Mustakim dan Hanafi. Termasuk pengawas junior,semuanya memakai baju putih.
"Apa dah jadi ni?" Soal Mustakim. Dia yang tadinya berada di surau, bergegas ke asrama apabila mendapat berita tentang fenomena pengawas berbaju putih itu.
"Ni semua kerja Najmi Mus," jawab Hanafi lemah. Hanya dia seorang yang menunggu di bilik gerakan pengawas tadi. Pengawas-pengawas lain semua mogok tidak bertugas termasuk pengawas junior. Namun, Hanafi tidak menyalahkan mereka. Dia tahu mereka semua telah diugut oleh Najmi dan Hazami. Akhirnya, mahu tidak mahu, mereka terpaksa mengikut arahan samseng sekolah itu. Dia tidak kisah semua itu. Cuma yang dia sedih, orang kuat pengawas sendiri turut termakan dek ugutan Najmi itu.
"Maksud kau?" Soal Mustakim tidak mengerti.
"Semalam Najmi datang bilik. Kau ada di surau masa tu. Dia ugut pengawas untuk buat macam ni," jelas Hanafi.
Mustakim beristighfar panjang. 'Najmi, Najmi...apalah yang kau nak sebenarnya?' getus hati Mustakim.
"Habis tu macam mana keadaan asrama sekarang?"
"Macam yang kau nampak sekarang ni lah. Tunggang terbalik!"
"Warden ada datang?"
"Belum.."
Mereka berdua terdiam. Buntu dengan situasi sekarang. Mata Mustakim bergenang. Dia tidak sangka Najmi berdendam dengannya sampai begitu sekali. Apa salahnya? Dia cuma mahu menjaga keharmonian asrama ini. Bukannya mahu menyusahkan pelajar! 'Ya Allah, bantulah aku Ya Allah....' rintih hati Mustakim.
"Abang Mustakim!"
Mustakim dan Hanafi berkalih melihat empunya suara. Serta-merta wajahnya yang keruh berubah. Dalam situasi yang rumit ini, Allah hadirkan insan yang mungkin dapat membantu mereka.
"Amir....masuklah dulu," pelawa Mustakim. Amir akur.
"Hem..tengoklah Mir apa dah jadi kat asrama ni.." kata Hanafi tak bermaya.
"Tak apa abang Mus, abang Hafi. Saya dah tahu semua apa yang terjadi. Saya tahu apa yang Najmi buat. Saya yang suruh adik-adik ikut arahan mereka," jelas Amiruddin mnegejutkan dua seniornya itu.
"Maksud Amir?"
Amiruddin menceritakan apa yang terjadi. Malam itu, dia ternampak Najmi dan Hazami pergi ke bilik Mustakim. Kerana bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku, Amir curi-curi mendengar perbualan mereka melalui dorm A6 yang bersebelahan dengan bilik tersebut. Dia tahu tentang ugutan Najmi. Seusai 'urusan' di bilik Mustakim malam itu, Najmi kembali ke dormnya dengan rasa puas hati. Manakala Hazami pula membuat tawaf seluruh asrama memberi amaran kepada semua pengawas dan mengugut mereka. Amir risau sesuatu akan berlaku sekiranya adik-adik membantah, lalu dia menyampaikan pesanan berangkai kepada semua pengawas untuk akur saja pada ugutan itu. Tidak hairanlah pagi ini hanya tinggal Hanafi dan Mustakim berdua sahaja.
"Tak apa..buat masa ini kita ikut saja rentak mereka berdua," kata Amir.
"Tapi Mir...nanti mesti mereka sangka mereka dah menang. Lepas tu, lagi bermacam masalah dia buat," luah Mustakim risau. Hanafi bersetuju dengan ketuanya itu.
"Jangan risau abang Mus, Abang Hafi...yang batil tidak akan selamanya berada di atas. Sampai masa, mereka akan tumbang. Waktu itu, yang benar akan bangkit, dan tidak akan jatuh lagi selepas itu. Cuma belum sampai masanya lagi untuk kita bangkit. Yakinlah setiap yang berlaku bukanlah kebetulan, tapi ada hikmah disebaliknya. Apa yang boleh kita buat sekarang, berdoa dan minta jalan penyelesaian dari Allah!"

1 ulasan:

 


Nohara al-Ramadani ©2016. Minima Template customized by Scyalicious